Projek RKAT di seluruh negara diteruskan, kata Mohamad Sabu

Mohamad mengikat bata sebagai simbolik perasmian Projek RKAT di Kem Penrissen.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 29: Kementerian Pertahanan akan meneruskan projek peningkatan dan ubah suai Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) untuk keselesaan anggota serta keluarga.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata permohonan ditambah peruntukan pada tahun hadapan telah dikemukan kepada Kementerian Kewangan untuk tujuan tersebut.

“Kem angkatan tentera terutamanya tentera darat agak lebih uzur kerana tentera darat telah lama wujud iaitu daripada sebelum merdeka.

“Maka selepas 50 hingga 60 tahun, memang kem-kem ini uzur termasuk rumah kediaman. Oleh itu usaha membaiki rumah uzur ini adalah program berterusan.

“Cuma kita harap diberi peruntukan lebih jika ekonomi berkembang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media yang diadakan di Kem Penrissen di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke projek cadangan peningkatan dan ubah suai RKAT Kelas G dan projek Poliklinik di kem tersebut.

Mohamad (enam dari kiri) merakam kenangan bersama pegawai-pegawai tentera semasa lawatan kerja tersebut. Turut kelihatan Zamrose (lima dari kiri).

Mengulas mengenai projek RKAT di Kem Penrissen, Mohamad berkata ianya sedang berjalan dengan baik dan melibatkan dua blok RKAT Kelas G, diubah suai dari 48 unit kepada 24 unit.

Projek dengan kos RM3.3 juta itu menyediakan rumah (seunit) dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air, dijangka siap pada bulan Jun 2020.

Sementara itu, beliau percaya Poliklinik Kem Penrissen yang dijadual siap pada penghujung tahun 2019 ini akan menyediakan fasiliti perubatan untuk warga Kuching.

“Hari ini kita berada di tapak poliklinik tetapi saya lihat keadaan macam sebuah hospital.

“Kemudahan ini nanti akan digunakan semua anggota tentera termasuk veteran yang ada di sekitar bahagian Kuching ini,” katanya.

Projek Poliklinik Kem Penrissen dibina dengan kos RM28 juta.

Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Dato Wira Zamrose Mohd Zain, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan Dato Parang Abai@Thomas dan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Dato Md Din Abu. — DayakDaily