Projek Rakyat beri manfaat kepada penduduk di 15 buah rumah panjang di Sungai Asap

Keadaan paip Galvanised Iron(G.I) yang berusia lebih 20 tahun dan perlu ditukar dengan paip HDPE di penempatan Sungai Asap.

KUCHING, 11 OGOS: Projek Rakyat iaitu penggantian paip lama kepada paip baharu bernilai RM900,000 di penempatan Sungai Asap memberi manfaat kepada 15 rumah panjang dengan sebanyak 1,742 isi rumah.

Kementerian Utiliti menerusi kenyataan hari ini berkata, ia melibatkan penggunaan High Density Polyethylene Pipe(HDPE) untuk menggantikan paip Galvanised Iron(G.I) yang lama dan berkarat dari meter air sehingga ke dalam rumah panjang.

“Skop projek merangkumi pemasangan sistem perpaipan yang baharu di dalam rumah dari meter air ke setiap rumah dengan pemasangan 25mm paip HDPE dan meter bagi menggantikan sistem perpaipan yang lama,” katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, projek melibatkan 15 rumah panjang iaitu Uma Lesong, Uma Penan, Uma Juman, Uma Ukit, Uma Badeng, Uma Balui Ukap, Uma Bakah, Uma Belor, Uma Lepo Kulit, Uma Balui Leko, Uma Bawang, Uma Kelep, Uma Lahanan, Uma Nyaving dan Uma Daro.

Projek tersebut dilaksanakan setelah paip lama yang berusia lebih 20 tahun berkarat dari bahagian dalam dan menyebabkan diamater paip menjadi semakin kecil.

“Akibatnya, aduan diterima daripada penduduk bahawa kualiti air yang kuning dan tekanan air yang rendah,” katanya.—DayakDaily.