Projek peningkatan produktiviti padi di Kampung Lebur gunakan teknologi moden

John(kiri) berbincang dengan Setiausaha Majlis Daerah Serian Constantine Gerald(kanan) berhubung ketiga-tiga projek.

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 18 OGOS: Kampung Lebur di Serian akan dibangunkan melalui Projek Peningkatan Produktiviti Padi(4P) menggunakan teknologi moden.

ADUN Bukit Semuja John Ilus berkata, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500,000 pada Fasa 1 projek untuk tujuan menyediakan infrastruktur.


“Sekarang ini kita lihat aktiviti pertanian merupakan satu aktiviti yang telah berkembang pesat khususnya di Bukit Semuja.

“Saya berharap dengan adanya infrastruktur itu nanti, mudah-mudahan ada peningkatkan dari segi pengeluaran produk pertanian yang seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk.

“Kita fokus satu kawasan untuk satu produk. Mungkin selepas ini kita akan bawa penduduk di Kampung Remun dan Tribuh untuk turut serta,” kata John.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Menambah Baik Infrastruktur di Kawasan Sawah Padi di Paya Empiduh di Kampung Lebur di sini hari ini.

Fasa 1 4P melibatkan kawasan seluas 30 hektar dimana Fasa 2, 3 dan 4 projek dengan keluasan dan peruntukkan yang sama akan menyusul kemudian.

Kesemua 4 Fasa yang melibatkan tanah seluas 120 hektar itu bakal menyaksikan aktiviti penanaman padi dilakukan mengunakan jentera dan teknologi moden seperti kaedah membaja menggunakan drone.

Menurut John lagi, kawasan lain di Bukit Semuja juga akan dibangunkan dengan produk pertanian yang bersesuaian dengan minat dan kehendak penduduk setempat.

“Semasa pilihanraya yang lepas, salah satu manisfesto atau arah tuju kita ialah pembangunan infrastruktur dan ekonomi penduduk luar bandar.

“Jadi apa yang kita lakukan hari ini adalah selaras dengan hala tuju kerajaan pada hari ini,” katanya.

Pada lawatan tersebut juga, John turut merasmikan upacara Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Kampung Lebur dengan kos RM500,000 dan Projek Naik Taraf Jalan Sau(RM300,000).

John menggesa agensi pelaksana, kontraktor serta penduduk kampung saling berkerja sama agar ketiga-tiga projek dapat sipa mengikut jadual iaitu pada penghujung tahun ini.-DayakDaily

John(memegang cangkul) menyempurnakan acara simbolik pecah tanah.