Projek menaiktaraf loji air terawat Tatau dijangka siap hujung tahun

Kerja-kerja membaikpulih gangguan bekalan air di Tatau yang disebabkan oleh kebocoran dua paip utama akibat kerja-kerja Pan Borneo yang sedang giat dilakukan.

KUCHING, 27 Okt: Bekalan air terawat di daerah Tatau, Bintulu, akan menjadi lebih efisien kepada pengguna dengan siapnya projek menaiktaraf loji rawatan di situ pada penghujung tahun ini.

Menurut satu kenyataan dari Kementerian Utiliti Sarawak hari ini, projek menaiktaraf loji rawatan air Tatau sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, pihak Kementerian Utiliti Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) ingin menegaskan bahawa kami adalah sangat komited untuk memastikan segala projek yang dirancang akan dilaksanakan dengan sempurna mengikut tempoh yang telah ditetapkan dan seterusnya dapat membekalkan bekalan air yang terawat secara berterusan kepada pengguna,” jelas kenyataan tersebut.

Ia menambah, sekiranya pengguna mengetahui mana-mana tempat atau kawasan yang didapati mengalami kebocoran paip air, bolehlah menghubungi pihak JBALB Bahagian agar tindakan dapat diambil dengan segera. Segala kesulitan yang timbul adalah amat dikesali.

Sementara itu, Kementerian Utiliti Sarawak telah dimaklumkan mengenai isu gangguan bekalan air di daerah Tatau, dan JBALB telah diarahkan untuk menyiasat punca gangguan bekalan air yang dialami oleh penduduk di daerah tersebut.


Gangguan berlaku pada 24 Okt dan sekali lagi dua hari kemudian.

“Kementerian telah dimaklumkan bahawa gangguan bekalan air telah bermula pada Khamis, 24 Okt, adalah disebabkan kebocoran dua paip utama akibat kerja-kerja Pan Borneo yang sedang dilakukan.

“Tindakan serta kerja-kerja baik pulih telah dilakukan dengan segera dan disiapkan pada hari tersebut,” jelas kenyataan tersebut.

Bangaimanapun, didapati berlaku sekali lagi kebocoran paip di tempat yang sama pada 26 Okt.

“Kerja-kerja baikpulih dilakukan dengan segera dan siap pada hari tersebut juga dan bekalan air telah kembali normal kepada pengguna-pengguna di kawasan yang terjejas.

“Di dalam tempoh baik pulih dilakukan, pihak JBALB telah menghantar bekalan air kepada pengguna yang terjejas dengan menggunakan lori tanker air.” — DayakDaily