Projek mega yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak diteruskan — Abang Johari

Abang Johari (tiga dari kiri) merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Negeri Sarawak.

Oleh Chris Bishop

PADAWAN, 28 Jun: Pelaksanaan projek mega yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak tetap akan diteruskan, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, Sarawak memiliki pendapatan untuk meneruskan kesemua projek sekaligus menidakkan tuduhan ahli politik pembangkang bahawa Negeri ini akan bankrup.


“Projek mega yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan saya tidak pasti, tetapi semua projek yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak tetap diteruskan.

“Saya tidak melihat kepada projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui semasa Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Industrial Forest Research Centre (IFRC) di Semenggoh hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato Sri Mustapa Mohamed semalam bahawa kerajaan mempertimbang untuk menangguhkan pelaksanaan projek mega.

Menurut Mustapa, penangguhan adalah bagi mengimbangi perbelanjaan berkaitan subsidi yang dianggarkan mencecah RM77.3 bilion tahun ini.

Katanya, jumlah subsidi terbesar dalam sejarah yang akan disalurkan tahun ini ternyata memberi kesan kepada kewangan negara.

Namun, ujar Mustapa, kerajaan belum putuskan lagi sama ada untuk menangguh pelaksanaan projek mega memandangkan keadaan semasa ini agak dinamik dan berubah dari semasa ke semasa dengan harga minyak masih tinggi dan keadaan geopolitik di Russia-Ukraine masih agak mencabar.

“Ramai menjangkakan perkembangan yang berlaku di Eropah ini mungkin berlarutan sehingga beberapa waktu. Justeru, harga komoditi kekal tinggi disebabkan keadaan geopolitik yang tidak menentu ini.

“Setakat ini, kerajaan akan melihat perkembangannya, namun penangguhan pelaksanaan projek mega boleh diambil tetapi ia belum diputuskan.

“Ia antara langkah yang boleh dikaji dan dipertimbangkan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh,” kata Mustapa pada sidang media selepas melancarkan Statistics Data Warehouse (StatsDW) di Kuala Lumpur, semalam. — DayakDaily