Projek Laluan Tepi Sungai tarikan baharu di Gedong

Kelihatan Nancy (kanan) ketika melakukan lawatan ke Projek Laluan Tepi Sungai Gedong. Foto: Ukas

KUCHING, 27 Jun: Projek Laluan Tepi Sungai Gedong bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dan akan menjadi salah satu tarikan menarik di kawasan berkenaan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri, untuk memastikan ia terus dikunjungi, kawasan tersebut akan dibina ‘ban’ setinggi dua kaki.

Beliau yang meninjau kawasan tersebut semalam berkata, pembinaan ‘ban’ penting untuk mengelakkan masalah banjir.

“Kita akan membina ‘ban’ untuk mengelakkan banjir berlaku dan tempat ini akan diguna pakai sepenuhnya,” ujar beliau sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Turut serta pada lawatan itu ialah Menteri Muda Pembangunan Usahawan yang juga Adun Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.

Dalam pada itu, Naroden ketika ditemui berkata Gedong mempunyai potensi pelancongan yang amat baik pada masa akan datang.

Katanya, Gedong akan menjadi pusat dan dihubungkan ke Serian, Simunjan dan juga Samarahan setelah jambatan ketiga siap dibina kelak.

“Sebab itu, dicadangkan di mana Gedong boleh menarik pelancong dari luar dan seperti yang dinyatakan Nancy bahawa pembinaan ‘ban’ setinggi dua kaki akan dilaksanakan,” kata Naroden.

Tambah Naroden, cadangan membina stadium pusat komuniti dan hotel telah diluluskan oleh kerajaan dan akan ditender dalam Julai ini. — DayakDaily