KUCHING, 5 April: Projek Kolam Komuniti di Kampung Suba, Bau meraih pendapatan sehingga RM3,000 sejak diusahakan pada tahun lepas.
Menurut ADUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep, ia menjana pendapatan tambahan bagi penduduk setempat yang terlibat dalam penternakan ikan dalam kolam.
“Kita akan menambah 12 lagi sangkar ikan termasuk satu unit enjin bot kepada para peserta yang terlibat,” katanya menerusi satu laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).
Henry berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Projek Kolam Komuniti di Kampung Suba, Bau pada Sabtu lepas (3 April).
Sementara itu, pengerusi Kolam Komuniti Kampung Suba Bandar Ahyong Jinot ketika ditemui berkata, mereka telah mampu meraih jualan sebanyak RM3,000 untuk 2,000 ekor ikan yang telah dituai.
Menurut Ahyong, kejayaan projek kolam itu adalah hasil usaha Henry yang telah membantu dari segi penyediaan sangkar, anak ikan dan baja.
Pada lawatan yang sama, Henry turut berkata bahawa peruntukan bagi projek penanaman pisang kapok juga telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak.
Katanya, setakat ini seramai 25 orang peserta dari Kampung Suba Bau dan Suba Bandar telah menyertai projek penanaman pisang kapok.
Projek tersebut membabitkan keluasan 25 ekar dengan peruntukan RM4,000 setiap ekar. — DayakDaily