Projek Jambatan Batang Lupar telah bermula, bukannya ditangguh

Julaihi (empat dari kiri) pada tinjauan ke tapak projek di Sebuyau hari ini (Feb 20, 2021)
Advertisement

Oleh Chris Bishop

SEBUYAU, 20 Feb: Kerajaan tidak menangguhkan pembinaan Jambatan Batang Lupar seperti dakwaan sesetengah pihak, tegas Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

Menurut beliau, kerajaan hanya menangguhkan majlis pecah tanah projek tersebut yang dijadualkan pada 18 Februari lepas atas kebimbangan penularan wabak Covid-19 di Sarawak.

Advertisement

“Projek tidak ditangguhkan, cuma tarikh pecah tanah sahaja yang ditangguhkan. Projek ini masih berjalan seperti biasa dan pihak kontraktor sudah melakukan kerja di tapak.

“Kontraktor untuk membina Jambatan Batang Lupar ada di tapak dan kontraktor untuk membina jalan penghubung juga sudah melakukan kerja-kerja.

“Jadi, kita tak pernah menangguhkan atau membatalkan projek ini sebab projek telah dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai tinjauan ke tapak Projek Jambatan Batang Lupar hari ini.

Tambah Julaihi, surat setuju terima bagi projek telah pun dianugerahkan kepada kontraktor pada 10 Disember 2020 dan kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 7 Januari, 2021.

Projek Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848 juta melibatkan pembinaan jambatan 2 lorong sehala mengikut piawaian jalan JKR R5 dengan panjang keseluruhan 4,844 meter.

Projek ini dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan tarikh siap dijadualkan pada Januari 2025.

Siap kelak, jambatan ini akan menghubungkan Sebuyau dengan Triso serta menggantikan perkhidmatan feri sepenuhnya di sungai tersebut. — DayakDaily

Advertisement