Projek Jalan Raya Ulu Skrang dilulus, dijangka siap pada 2022

Jugah Muyang

KUCHING, November 26: Projek pembinaan Jalan Raya Ulu Skrang iaitu dari Engkilili ke Ulu Skrang telah diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat yang lepas.

Menurut MP Lubok Antu, Jugah Muyang, perlaksanaan projek tersebut akan bermula dalam masa terdekat.

“Menurut pengumuman menteri pembangunan luar bandar, status semasa projek ini adalah di dalam peringkat proses perlantikan perunding oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.


“Projek ini dijangka dikeluarkan tender pada bulan April 2020 dan dijangka siap pada bulan September 2022,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Projek Jalan Ulu Skrang, Lubok Antu, Sarawak (Fasa 2) telah diluluskan pelaksanaannya di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, iaitu di dalam Rolling Plan Pertama, Tahun 2016.

Kos keseluruhan projek berjumlah RM28.5 juta dan bakal memberi manfaat kepada 2,500 orang penduduk.

Tambah Jugah, pada masa sekarang penduduk di sepanjang jalan Ulu Skrang mengalami kesukaran keluar masuk ke jalan utama.

Katanya, ini disebabkan jalan yang sedia ada rosak teruk dan beberapa “temporary crossing” sudah reput dan roboh.

“Keadaan jalan raya yang semakin rosak ini berbahaya kepada pengguna terutama pada musim tengkujuh,” ujar beliau.

Perkara tersebut dibangkitkan beliau pada perbahasan Sidang Dewan Rakyat Sesi Oktober – Disember 2019 dan mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.— DayakDaily