Oleh Chris Bishop
KUCHING, 30 Julai: Projek Hospital Petra Jaya kini sedikit mendahului jadual dengan status kerja mencapai 26 peratus, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.
Justeru katanya, jika tiada lagi masalah dan pelaksanaan kerja mengikut jadual ia mampu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu pada tahun 2024.
“Bagi Hospital Petra Jaya setelah lantikan kontraktor penyelamat pada tahun 2021, status kerja setakat ini telah ke hadapan sedikit daripada jadual.
“Status kerja di tapak kini sudah mencapai 26 peratus dan kalau mengikut jadual ia sepatutnya 25.4 tetapi mereka dah capai 25.9 peratus.
“Maknanya mereka ke hadapan dan kerja-kerja ini mengikut skop yang diberi,” katanya pada sidang media selesai Perasmian Pejabat Sekretariat Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) di Wisma Saberkas di sini, hari ini.
Projek Hospital Petra Jaya telah dimulakan pada 2013 namun gagal disiapkan dan ditamatkan kontrak pada 2018.
Pada 2020 projek ini ditender semula dan melantik Blackfox Engineering Sdn Bhd sebagai kontraktor baharu dengan kos RM410,300,000.
Projek ini sepatutnya siap pada 7 Januari 2024 namun disebabkan kekangan pandemik Covid-19, tarikh siap dijadual semula pada 7 Mac 2024.
Manakala bagi projek Hospital Lawas pula, Fadillah berkata ia lewat 6 peratus daripada jadual asal.
Jika mengikut jadual katanya, status Projek Hospital Lawas sepatutnya sudah mencapai 31 peratus tetapi kini hanya 25 peratus.
Selain itu tambah Fadillah, Projek Bangunan Tambahan Hospital Miri turut mengalami kelewatan sebanyak 5 peratus di mana kini hanya di tahap 23 peratus.
Namun beliau berharap pihak kontraktor dapat mempercepatkan kerja-kerja di tapak bina setelah Indonesia membenarkan semula rakyatnya masuk ke Malaysia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor pembinaan mulai 1 Ogos ini.
“Ini diharap ia dapat membantu meningkatkan jumlah pekerja asing yang masuk ke negara kita dan diharapkan selepas itu momentum untuk kita siapkan projek ini akan meningkat,” ujar Fadillah.
Hadir sama Presiden BEM Dato Seri Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Ir. Richard Tajan. — DayakDaily