Projek bina baharu SK Suba Buan dijangka siap April 2023

Henry (dua dari kanan) pada lawatan ke tapak sekolah pada Selasa.

KUCHING, 9 Feb: Projek bina baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan di sini dijangka siap pada April 2023.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Muda Pengangkutan II yang juga ADUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep berkata, status pelaksanaan projek yang melibatkan peruntukan sekolah daif sebanyak RM24.65 juta itu kini siap 22.26 peratus.

Katanya, ia 4 peratus awal daripada yang dijadualkan dan merangkumi pembinaan baharu 18 unit bilik darjah dan enam unit rumah guru termasuk beberapa kemudahan lain.


“Dalam masa sama, saya turut memohon kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) untuk membina sebuah lagi jalan akses ke SK Suba Buan.

“Laluan tersebut ialah dari Gua Angin bagi mengelak kesesakan jalan raya yang akan berlaku apabila sekolah tersebut sudah mula beroperasi kelak,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak sekolah tersebut pada Selasa.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Aneilia Siam dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Sektor Perancangan Josephine Josy Ngyogia.

Sementara itu, beliau menambah, SK Suba Buan yang baharu tersebut terletak di jalan raya penghubung di antara Kampung Suba Buan dan Kampung Suba Bau.

Ujarnya, ia akan memberi manfaat kepada para pelajar dari kedua-dua buah kampung berkenaan apabila ianya sudah mula beroperasi. — DayakDaily