KUCHING, 12 Julai: Seramai 350 keluarga mendapat manfaat melalui program prihatin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sri Aman sejak Mac hingga Jun lepas.
Menurut Ketua Armada Sarawak Alexander Frusis, ia melibatkan keluarga yang kehilangan pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang telah dilaksanakan.
“Program menyasarkan bantuan kepada golongan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penduduk Parlimen Sri Aman yang telah hilang pendapatan harian mereka.
“Sumbangan ini adalah dalam bentuk bakul makanan yang terdiri daripada barangan keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Frusis, Armada Sri Aman telah dibantu dan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pesara guru, syarikat persendirian dan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Selain itu tambah beliau, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dan Bantuan Khas Sarawak ku Sayang (BKSS 6.0) yang diumumkan oleh kerajaan mendapat sambutan baik daripada penduduk Sri Aman.
“Ini khususnya melibatkan permohonan moratorium selama enam bulan di mana ia dilaksanakan tanpa melalui karenah birokrasi,” ujar beliau. — DayakDaily