Program Kampung Angkat Pergigian beri manfaat penduduk luar bandar

Kelihatan Penguang (tiga dari kanan) bersama penduduk Rumah Nora di Program Kampung Angkat Pergigian. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas)

KUCHING, 19 Julai: Program Kampung Angkat Pergigian memberi peluang kepada penduduk luar bandar menerima perkhidmatan kesihatan pergigian.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datu Penguang Manggil, ia merupakan ‘out-reach programme’ sehingga ke peringkat akar umbi di kampung-kampung.

“Saya difahamkan bahawa program ini adalah satu inisiatif yang baharu dilaksanakan.


“Jadi, kita di rumah panjang boleh menerima perkhidmatan pergigian secara program ‘outreach’,” katanya semasa merasmikan pelancaran Program Kampung Angkat Pergigian–Rumah Nora Sungai Buri Ili, Bakong pada Ahad (17 Julai).

Rumah Nora Sg Buri Ili, Bakong merupakan yang pertama seumpamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi.

Tambah Penguang, melalui program itu penduduk tidak lagi perlu ke Miri sebaliknya mereka (Pejabat Pergigian Bahagian Miri) datang ke rumah panjang.

Katanya, Program Kesihatan Gigi ini memastikan kesihatan gigi terus terjamin menerusi penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian yang lebih meluas.

Beliau yang juga Adun Marudi menggesa penduduk rumah panjang mengambil peluang ini untuk mendapatkan perkhidmatan pergigian yang betul.

“Jadi, ini adalah satu pengajaran yang kita harus sedar bahawa dari kecil kita mesti menjaga gigi dengan memberus gigi dengan cara yang betul dan makan makanan seimbang.

“Inilah tugas Pejabat Pergigian yang mengajar kita cara menjaga gigi dengan betul supaya gigi berada dalam keadaan baik dan sihat serta tidak mempunyai penyakit gigi,” ujarnya.

Pada majlis itu, Penguang turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang, biro wanita dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Antaranya JKKK Rumah Nora (RM10,000), Biro Wanita Rumah Nora (RM5,000), JKKK Rumah Beruang (RM10,000), Biro Wanita Rumah Beruang (RM5,000), JKKK Rumah Ajan (RM10,000), Biro Wanita Rumah Ajan (RM5,000), JKKK Rumah Kam (RM10,000), Biro Wanita Rumah Kam (RM5,000), PIBG Sekolah Kebangsaan Sg Buri (RM10,000) dan PIBG Sekolah Kebangsaan Lepong Ajai (RM10,000). — DayakDaily