KUCHING, 22 Jan: Pasaraya i-Mart di Kapit selama 2 hari mulai hari ini dan esok mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dari jam 8 pagi hingga 2 petang di Perkarangan Dewan Suarah, Kapit.
PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah.
Antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras; dan barangan keperluan rumah terpilih.
Justeru, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Dato Sri Alexander Nanta Linggi menggalakkan orang ramai di sekitar DUN dalam Parlimen Kapit termasuk Bukit Goram, Katibas dan Pelagus untuk merebut peluang dua hari ini.
“PJKM yang diadakan ini membantu dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan,” katanya ketika ditemui.
Tambah Nanta, maklumbalas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala.
Pengguna katanya mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan telah meningkat.
Sehingga 16 Januari 2022, seramai 607,366 pengunjung telah menghadiri PJKM di 394 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatitkan berjumlah lebih dari RM12.070 juta.
“PJKM kini diperluaskan meliputi kawasan-kawasan parlimen luar bandar dan pada hujung minggu ini rakyat Kapit.
“Sarawak turut sama menikmati barang-barang keperluan yang ditawarkan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat,” ujar beliau. — DayakDaily