Program ‘Jom Ke IPT’ bantu lebih 500 pelajar dari Daerah Belaga ke institut pengajian tinggi, kolej

Peserta Program 'Jom Ke Institut Pengajian Tinggi' dari SMK Belaga dan SMK semasa lawatan di Institut Perguruan Tun Abdul Razak di Kota Samarahan.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

SAMARAHAN 20 Mac: Program ‘Jom Ke Institut Pengajian Tinggi’ anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Belaga dan Murum telah mencapai matlamat.

Dalam tempoh lima tahun penganjuran, lebih 500 pelajar dari Daerah Belaga telah berjaya melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi di seluruh negara.

Advertisement

Menurut Menteri Muda Bekalan Air yang juga ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang, program ini telah membawa manfaat kepada pelajar lepasan SPM dari SMK Bakun dan SMK Belaga.

“Di Daerah Belaga, kami tiada perkhidmatan Internet untuk membuat permohonan atas talian.

“Kita tiada menara telekomunikasi dan juga bekalan elektrik, kami ketinggalan dan tidak menikmati semua kemudahan Internet.

“Menerusi program ini, pelajar mendapat penerangan dan pendedahan awal berkenaan kursus yang ditawarkan di setiap universiti dan kolej,” kata Liwan.

Beliau berkata demikian kepada DayakDaily semasa melawat peserta program ‘Jom ke Institut Pengajian Tinggi’ yang berada di Institut Perguruan Tun Abdul Razak (IPGTAR) di Kota Samarahan kelmarin.

Lapan puluh pelajar dari SMK Bakun dan SMK Belaga mengikuti program tersebut yang bermula dari Mac 18 sehingga 21.

Pelajar lepasan SPM dari kedua-dua sekolah ini dibawa melawat ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Politeknik Kuching, Centexs, ICATS, PPKS dan juga IPGTAR.

Disamping itu, tambah Liwan, peserta program turut didedahkan dengan syarat kelayakan untuk mengikut kursus yang ditawarkan.

“Melalui penerangan itu, para pelajar kita boleh memohon mengikuti kursus yang bersesuaian dengan kelayakan SPM mereka,” kata beliau.

Liwan yang merupakan pencetus program selain dibantu ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon berharap mendapat bantuan kewangan terutamanya dari Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) pada tahun yang akan datang.

Mengucapkan terima kasih di atas bantuan kewangan dari Sarawak Energy untuk menjayakan program dalam tempoh dua tahun yang lepas, Liwan berharap bantuan dari SEB dapat ditambah supaya banyak lagi pelajar dapat mengikuti program.

Liwan (empat kiri) dan Chukpai (tiga kanan) berbincang dengan pegawai Institut Perguruan Tun Abdul Razak.

Sementara itu, Chukpai yang turut ditemui mengucapkan terima kasih kepada Kelab Belia Apau Koyan (KBAK) yang rata-rata ahlinya adalah peserta siri pertama dan kedua program itu.

KBAK, katanya, telah banyak membantu menjayakan program atas dasar ingin membantu pelajar di Daerah Belaga.

Pada April 19, KBAK akan mengadakan Kem Belia di Sungai Asap, Belaga untuk memberi peluang kepada belia di daerah tersebut mendapatkan maklumat mengenai program yang ditawarkan di universiti dan kolej tempatan. — DayakDaily

Advertisement