Program Imunisasi Covid-19 fasa kedua bermula di Miri untuk golongan rentan, warga emas

Datuk Lee (kiri) meninjau persediaan PPV di Eastwood pagi tadi.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 April: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 fasa kedua bahagian Miri telah bermula hari ini, dengan sebanyak 3,510 dos digunakan yang mensasarkan golongan rentan dan warga emas yang berumur 69 tahun hingga 99 tahun berdasarkan senarai yang telah diterima oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri.

Programm vaksinasi fasa kedua ini akan berakhir pada 29 April 2021.


Proses vaksinasi dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Eastwood Valley, Miri; Hospital Miri dan Hospital Marudi.

Pada pagi Jumaat (23 April), Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga merupakan menteri bertanggungjawab JPBB Miri telah melakukan lawatan ke PPV Dewan Eastwood.

Beliau turut disertai Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga merupakan Pengerusi JPBB Miri; Dr P Raviwharmman, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri; Dr Jack Wong, Pengarah Hospital Miri dan beberapa agensi di bawah nya adalah bertujuan untuk memantau proses pemberian vaksin Covid-19 di PPV itu.

Lee yang ditemui selepas lawatan meluahkan rasa puas hatinya dengan segala proses dilaksanakan di PPV itu.

Beliau menyifatkan proses pemberian vaksin COVID-19 pada hari pertama bagi Fasa 2 yang dikhususkan kepada golongan rentan dan warga emas di PPV Dewan Eastwood Miri berjalan dengan licin, teratur dan cekap.

Difahamkan, penerima fasa kedua vaksin di PPV Eastwood adalah jenis Pfizer-BioNTech.

Dalam pada itu Datuk Lee berkata, “Penerima vaksin diingatkan jangan datang terlalu awal. Sila ikut masa temujanji yang telah ditetapkan dan seeloknya hanya datang ke PPV Eastwood 30 minit lebih awal sudah mencukupi”, jelas beliau.

Mengulas mengenai kumpulan warga emas yang hadir ditemani anak masing-masing, Lee menyeru, majikan di Miri agar memberikan kerjasama untuk memberikan pelepasan masa kepada pekerja-pekerja mereka atau mereka yang perlu membawa ibu bapa ke PPV untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

JPBB Miri mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek prosedur operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 secara ketat. — DayakDaily