Program I-Sinar KWSP diperluas kepada 8 juta pencarum layak

Logo KWSP

KUALA LUMPUR, 26 Nov: Program I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluas kepada semua pencarum yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kelulusan itu diberikan tanpa mengira pencarum terbabit telah hilang pekerjaan atau menghadapi pengurangan jumlah pendapatan.

“Kelulusan ini juga tanpa mengira pencarum tersebut berkerja di sektor formal atau berkerja sendiri tanpa mengira mereka merupakan ahli aktif mencarum atau tidak  selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari akaun satu KWSP mereka,” katanya dalam sesi pengulungan di Dewan Rakyat di sini hari ini.


Beliau berkata, pengumuman tersebut akan memberikan manfaat kepada lebih lapan juta   orang daripada dua juta ahli KWSP yang layak seperti yang di umumkan sebelum ini.

Katanya, ahli yang sebelum ini dibenarkan untuk membuat pengeluaran sehingga RM9,000 turut dibenarkan untuk melakukan pengeluaran sehingga RM10,000.

“Mereka yang layak ini perlu memohon dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP berdekatan.

“Tunjukkan bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau kerja lebih masa mahupun pengurangan pendapatan jika berkerja sendiri bagi membantu permohonan tersebut,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, inisiatif tersebut tidak akan menjejaskan pendapatan KWSP dan pemberian dividen kepada ahlinya.

“Daripada analisis dan perbincangan selama lebih seminggu bersama pihak KWSP, ini tidak akan menjejaskan dividen ataupun return kepada KWSP tetapi dapat menolong ramai kerana jumlahnya adalah sebanyak kira-kira RM70 bilion daripada jumlah keseluruhan aset KWSP ketika ini yang bernilai kira-kira RM960 bilion ,” jelasnya. — DayakDaily