Program Food Bank beri manfaat 622,726 isi rumah B40, golongan memerlukan seluruh negara

Datuk Rosol Wahid

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Seramai 622,726 isi rumah B40 dan golongan yang memerlukan di seluruh negara mendapat manfaat daripada Program Food Bank Komuniti sehingga Oktober lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata pada tempoh tersebut, program itu telah memanfaatkan sebanyak 2,301 tan matrik lebihan makanan yang dianggarkan bernilai RM1.51 juta.


“Program food bank sebegini juga telah diperluaskan kepada lebih ramai lagi penerima B40 dan golongan yang memerlukan contohnya penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR), penghuni rumah kebajikan, mangsa bencana dan lain-lain kumpulan sasar yang memerlukan.

“Keberkesanan program ini telah dapat direalisasikan yang mana sehingga Oktober lalu, seramai 622,726 ahli isi rumah menerima manfaatnya,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangwa) yang meminta kerajaan menyatakan keberkesanan, kejayaan dan cabaran Program Food Bank Malaysia sehingga ini.

Rosol berkata, menerusi program Food Bank Siswa, seramai 17,574 pelajar di 25 Institusi pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara berjaya dibantu sejak program itu dilancarkan Februari tahun lalu.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac lalu, Program Food Bank Siswa ini telah menyumbang dan membantu lebih daripada 60,000 pelajar yang terkandas di IPT seluruh negara.

“Situasi ini sekaligus memudahkan pelajar-pelajar yang terkandas di 181 IPT di seluruh negara ini memperoleh akses kepada makanan dan penjagaan diri ketika berada di kampus masing-masing,” katanya.

Bagainamapun kata Rasol, perlaksaan program itu berhadapan dengan cabaran komitmen daripada penyumbang kerana terdapat beberapa pengilang, syarikat korporat dan pasar raya terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Terdapat sedikit kesan iaitu syarikat-syarikat yang tidak dapat lagi memberikan komitmen sepenuhnya dalam menyumbang kepada Program Food Bank ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sentiasa komited untuk mendapatkan organisasi penyumbang dan memastikan sumbangan terbabit akan terus diberikan kepada para-penerima. – DayakDaily