Produk Warisan Kampung disasarkan untuk pasaran tempatan dan Semenanjung Malaysia

Abang Johari (dua dari kanan) bersama tetamu lain memberikan isyarat tangan 'bagus' di majlis pelancaran Produk Warisan Kampung.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 12: Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha mempromosikan produk warisan kampung.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata produk tersebut nanti bukan hanya untuk pasaran tempatan, tetapi diperluaskan ke Semenanjung Malaysia.


“Jikalau semua produk ini dapat dihasilkan dengan bersih dan berstruktur, maka dapat kita memasarkannya di pasaran.

“Bukan hanya untuk pasaran di Kuching sahaja, tetapi juga dipasarkan di Semenanjung Malaysia menerusi pasaraya Mydin,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Produk Warisan Kampung di Pasaraya Mydin hari ini.

Abang Johari percaya produk warisan kampung boleh menjana pendapatan tambahan kepada pengusaha dan juga pembekal bahan mentah.

Mengambil contoh acar limau yang hanya dihidangkan di musim perayaan sahaja, produk tersebut memerlukan pembekal limau segar, kata beliau.

“Untuk menghasilkan acar limau, pengusaha memerlukan pembekal buah limau segar.

“Dengan ini akan wujud golongan penanam buah limau yang akan menjadi pembekal,” katanya.

Abang Johari (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang pengusaha produk warisan kampung.

Produk Warisan Kampung merupakan inisiatif di bawah Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Biro Ekonomi Satok dan Pasaraya Mydin.

Program memberi peluang kepada pengusaha produk warisan kampung di sekitar Sarawak untuk memasarkan produk mereka di bawah OKSHe.

Inisiatif ini telah bermula pada awal Jun 2018 yang melibatkan 36 produk warisan kampung yang dikenalpasti di sekitar Kuching untuk dijenamakan.

Bagi majlis pelancaran hari ini, sebanyak 12 produk akan dipasarkan daripada 9 pengusaha.

Untuk fasa permulaan melalui kerjasama ini, produk yang akan dipasarkan adalah bumbu pedas, kacang bersalut, acar limau, kuih sepit asli dan berisi kacang serta coklat, kek ati parek, kek buah, sambal tumis ikan bilis, kuih cincin dan rempah masak hitam.

Turut hadir isteri ketua menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. — DayakDaily