KUCHING, 12 Feb: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) menggesa orang awam mengelak membeli dan menggunakan produk tradisional jenama Nan Bao dengan nombor pendaftaran MAL19962457T yang dikesan mengandungi racun berjadual sildenafil bagi mengubati mati pucuk.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan produk berbentuk kapsul terbabit yang pengilangnya di China telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-331 berikutan pengesanan racun berjadual sildenafil di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.
“Sildenafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi sidenafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor,”katanya dalam kenyataan medianya yang disiarkan laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia di https://kpkesihatan.com hari ini.
Dr Noor Hisham berkata penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.
“Sidenafil dan analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. Penggunaan ubat ini adalah sangat berbahaya bagi orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers tersebut terutamanya pesakit bermasalah jantung seperti angina yang mengambil ubat nitrate,”katanya.
Beliau sehubungan itu memberi peringatan kepada penjual dan pengedar produk terbabit perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Katanya individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
Manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,”katanya.
Dr Noor Hisham berkata orang awam boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my/index.php/en/ atau menghubungi NPRA di talian 03-78835400. — DayakDaily