Produk pelancongan Samarahan terus dipromosi – Idris

Idris memukul gendang sebagai simbolik merasmikan SFCS 2022.

SAMARAHAN, 11 Dis: Usaha mempromosi produk-produk pelancongan di kawasan Samarahan akan dipergiatkan, kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato Idris Buang.

Katanya, wakil-wakil rakyat akan memberi sokongan kepada usaha Majlis Perbandaran Samarahan (MPS) untuk menjadikan Samarahan sebagai satu lagi destinasi pelancongan Negeri.

“Kepelbagaian produk pelancongan di kawasan ini mesti diketengahkan kepada masyarakat umum.


“Samarahan kaya dengan budaya dan adat resam pelbagai kaum, malah lebih menarik daripada Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pesta Makanan Dan Kebudayaan Samarahan (SFCS) 2022 di Perkarangan Tempat Letak Kereta The Summer Mall malam ini.

Menurut Idris yang juga Adun Muara Tuang, SFCS yang yang telah disenarai di dalam kalendar pelancongan Negeri membawa pelbagai manfaat kepada penduduk setempat.

SFCS 2022 diadakan selama tujuh hari mulai 12 hingga 18 Disember ini.

Festival ini bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk makanan tradisi, makanan popular, seni, adat dan budaya.

Ia termasuk permainan tradisi yang terdapat serta masih dihidupkan oleh komuniti di Samarahan. — DayakDaily