PRN12: Teka teki calon DUN Baleh

Kapit Town Square. - Foto Fail
Advertisement

KUCHING, 23 Nov: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh menjadi topik hangat di kedai-kedai kopi di sekitar pasar Kapit setelah pemergian penyandangnya yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing pada penghujung Oktober lepas.

Teka-teki siapakah bakal menggantikan mendiang Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak(PRS) bagi menghadapi Pilihanraya Negeri Ke12 (PRN12) berlegar di fikiran penduduk baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Ia semakin hangat setelah Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan mengumumkan bahawa senarai 3 nama calon sudah diserahkan kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada minggu lepas.

Advertisement

Calon GPS DUN Baleh

Tinjauan DayakDaily di sekitar Kapit pada hujung minggu lepas mendapati antara nama yang disebut mengisi kekosongan tersebut ialah isteri mendiang Masing, Datin Amar Corrine Masing.

Ini bagaikan mengikut trend DUN Tanjung Datu setelah adunnya yang juga bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia pada bulan Januari 2017.

Berikutan itu, balu kepada Allahyarham Adenan, Puan Sri Jamilah Anu dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Tanjung Datu pada Februari 2017 dan menang dengan majoriti besar ke atas dua lawannya dari parti tempatan.

Senario di Kapit khususnya DUN Baleh seakan sama dengan DUN Tanjung Datu, pengundi terutamanya penyokong GPS menyokong sepenuhnya jika Corrine dipilih, dan mereka berharap Corrine sanggup memikul tanggungjawab tersebut.

Namun, cakap-cakap kedai kopi adalah tiada pergerakan ataupun aktiviti kempen diadakan dari pihak GPS (bakal calon) setakat ini di kawasan Baleh, ini mungkin pemimpin dan penyokong GPS berdisiplin untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

DayakDaily diberitahu, Corrine yang merupakan calon paling hampir untuk mengisi kekosongan itu masih belum mengadakan sebarang kempen.

Dua lagi nama yang disebut-sebut ialah MP Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Nicholas Kudi Jantai.

Namun, nama Wilson Ugak yang juga Timbalan Pengerusi PRS Cawangan Baleh dianggap pengundi sebagai calon paling sesuai untuk meneruskan legasi Masing yang telah menduduki kerusi tersebut sejak 1983.

Alasannya DUN Baleh adalah di bawah kawasan parlimen Hulu Rajang, dan Wilson sering melawat bertemu rakyat menjadikan beliau dikenali selain popular.

Selain itu, Wilson juga di dalam banyak keadaan selalu mewakili mendiang Masing pada program bertemu dengan rakyat di DUN Baleh.

Wilson dianggap sangat memahami visi mendiang Masing untuk Baleh dan Kapit amnya.

Menjadikannya DUN Baleh lebih menarik, kekosongan kerusi tersebut turut mendapat perhatian pelobi-pelobi yang mengintai peluang untuk menjadi calon, ini termasuk daripada pemimpin setempat serta pegawai kanan kerajaan.

Apa pun, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan bermesyuarat pada esok untuk menetapkan tarikh PRN12, dan selepas itu semua teka teki calon di DUN Baleh dipercayai akan terjawab dalam masa 2 atau 3 hari selepas pengumuman.

Baleh: Pertembungan PRS, DAP dan PSB

Tiba PRN12, GPS bakal menghadapi tentangan daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Berdasarkan keputusan pilihanraya negeri yang lepas, PRS yang diwakili mendiang Masing tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempertahankan kerusi dan ia boleh dikatakan kubu kuat GPS, ketika itu BN.

Dalam pada itu, Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) memutuskan untuk tidak bertanding di DUN Baleh bagi menghormati perjuangan mendiang Masing yang dianggap lantang bersuara demi kepentingan Dayak.

Pilihanraya vs Covid-19

Dalam pada itu, rakyat atau pengundi di Kapit amnya sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi untuk menentukan wakil rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

Tinjauan DayakDaily mendapati kebanyakan ketua masyarakat berkata perkara paling penting adalah mematuhi SOP yang ditetapkan kelak.

Bagi mereka, PRN12 harus dilaksanakan setelah tertangguh dan mandat untuk memilih kerajaan mesti dikembalikan kepada rakyat.

Rata-rata golongan ketua masyarakat berpendapat pemimpin atau calon-calon yang bakal bertanding sudah dikenali, demi pematuhan SOP tiada keperluan untuk aktiviti kempen.

Golongan ini percaya pengundi sudah bijak memilih, mereka kenal pemimpin yang benar-benar membawa pembangunan demi rakyat dan bukan yang sekadar muncul di kala musim pilihanraya. — DayakDaily

Advertisement