PRN12: DAP ancaman GPS di kerusi bandar

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Nov: Naib presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akui DAP adalah ancaman kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kelak.

Katanya, di kawasan bandar memang Parti Tindakan Demokratik (DAP) kuat dan selain daripada itu tiada ancaman besar dari parti lawan yang lain.


“Kalau kita lihat sejarah dan rekod pada pilihanraya yang lepas sama ada parlimen atau negeri, ada satu parti yang telah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pembangkang iaitu DAP.

“Di dalam GPS (Gabungan Parti Sarawak), parti yang perlu bertembung dengan DAP adalah Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

“Maka, kita harap SUPP dapat mencari calon yang betul-betul berkaliber, yang mendengar suara rakyat akar umbi,” katanya pada program bersama media di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur hari ini.

Tidak memperkecilkan keupayaan parti-parti lawan yang lain, GPS tetap menghormati mereka, kata Abdul Karim.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, semua parti lawan mesti dihormati kerana mereka mempunyai pemimpin dan pengikut tersendiri.

“Namun saya yakin bahawa GPS akan memenangi Pilihanraya Negeri Ke-12 dengan bergaya nanti.

“Saya bukannya angkuh dengan kenyataan ini, tetapi saya rasa rakyat tahu apa yang kerajaan GPS telah buat,” ujar pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.

Pada Pilihanraya Negeri Ke-11 yang diadakan pada 7 Mei 2016, GPS memenangi 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

PBB dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang bertanding di 40 dan 11 kerusi menang 100 peratus, manakala SUPP yang bertanding di 13 kerusi hanya menang tujuh sahaja dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menang tiga daripada lima kerusi. — DayakDaily