PRN-12: DAP sedia hadapi tentangan PBK di kawasan Bandar Kuching

Dr Yii (dua kanan) mengadakan sidang media di SMK St Teresa selepas majlis penyampaian cek di sekolah terbabit.

KUCHING, 14 Jun: Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersedia untuk mempertahankan kerusi Padungan dan Pending daripada tentangan Parti Bumi Kenyalang (PBK) di Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, berkata DAP tidak memilih mana-mana pihak yang akan merebut kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) parti tersebut termasuk dua buah kawasan di bawah Parlimen Bandar Kuching.

“Ini adalah sebuah negara demokrasi, tiada siapa boleh dihalang untuk bertanding atau merebut kerusi DUN atau Parlimen. Semua orang boleh memilih untuk bertanding di mana sahaja, termasuk kawasan yang dikuasai DAP seperti Padungan dan Pending.


“Setakat ini, kami dengar mereka (PBK) juga berminat untuk bertanding di kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Bandar Kuching,” katanya ketika sidang media di majlis penyampaian cek kepada SMK St Teresa, di sini, hari ini.

Dr Yii berkenalan dengan guru-guru SMK St Teresa sebelum majlis diadakan.

Dr Yii berkata demikian ketika mengulas samada kehadiran PBK pada pilihan raya negeri yang harus diadakan pada 2021 akan menyebabkan masalah kepada DAP.

Tambah beliau, DAP juga bersedia menghadapi cabaran daripada parti-parti lain untuk bertanding di kawasan parti tersebut.

“Kami mengalukan sesiapa sahaja untuk bertanding, termasuk di DUN di bawah Parlimen Bandar Kuching, selagi mereka bertanding dalam sempadan undang -undang,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada bekas wakil rakyat DUN Batu Lintang, Voon Lee Shan, di atas perlantikannya sebagai presiden PBK yang baru. — DayakDaily