Premier sertai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka laluan Miri-Bintulu bermotosikal

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

KUCHING, 17 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyertai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka bersempena Ulang Tahun ke-60 Kemerdekaan Sarawak 22 Julai ini.

Menurut Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Premier akan menyertai konvoi motosikal berkuasa besar bagi laluan Miri ke Bintulu pada 10 Jun ini.

“Pelepasan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka akan dilakukan pada 28 Mei 2023 di Lawas dan disempurnakan oleh Premier (Abang Johari).


“Konvoi Kembara ini akan berakhir di Padang Merdeka di Kuching pada 22 Julai 2023 dimana sambutan besar-besaran akan diadakan,” katanya pada sidang media selesai Mesyuarat Koordinasi Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 2023 di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Tambah Abdul Karim, konvoi kali ini akan berlangsung selama 56 hari dan meliputi jarak 3,516 kilometer.

Katanya yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Persembahan Seni, konvoi akan menjelajah ke seluruh 12 bahagian negeri ini.

“Di setiap persinggahan bahagian, acara seperti pameran agensi kerajaan, jualan usahawan serta ‘Youth Got Talent” diadakan.

“Sebanyak 1,500 bendera Sarawak Ibu Pertiwiku’ akan diagihkan di setiap bahagian,” kata Abdul Karim. — DayakDaily