Premier Sarawak terima kunjungan hormat daripada J-KOM

Abang Johari (empat kiri) semasa menerima kunjungan hormat oleh pihak J-KOM yang diketuai oleh Zuraidi (tiga kiri). Turut kelihatan adalah Abdullah Saidol (empat kanan).

KUCHING, 1 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada semalam menerima kunjungan hormat rombongan daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), Petra Jaya.

Kunjungan hormat itu diketuai oleh Ketua Pengarahnya Dato Dr Zuraidi Ishak sambil diiringi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Ketika ditemui media selepas kunjungan hormat ini, Zuraidi berkata, tujuan kunjungan hormat adalah bagi menzahirkan kepada Abang Johari perihal J-KOM selain peranan dan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang yang bakal dilaksanakan di Sarawak.

Selain itu terdapat juga persetujuan untuk J-KOM menjalinkan kerjasama yang erat bersama-sama dengan UKAS bagi mengurus dan menyalurkan maklumat yang sahih daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak kepada masyarakat. — DayakDaily