Premier Abang Johari harumkan Sarawak di mata dunia — Julaihi

Dato Sri Julaihi Narawi. Photo credit: Ukas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Nov: Kepimpinan cemerlang Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengharumkan nama Sarawak di mata dunia.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia dapat dibuktikan dengan pengiktirafan oleh negara-negara luar terhadap Abang Johari.


Katanya, Abang Johari kerap dijemput untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.

“Baru-baru ini Abang Johari diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan di Persidangan Tenaga Hidro Antarabangsa Bali pada 31 Oktober 2023.

“Dalam persidangan tersebut, beliau telah menekankan bahawa Sarawak berpotensi menjadi pembekal utama tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.

“Ia selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat kuasa tenaga di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2030,” kata Julaihi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Julaihi, Premier Sarawak juga telah dianugerahkan dengan gelaran Felo Kehormat pada Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN yang ke-41 (CAFEO-41) pada 22 November 2023 lepas.

Di bawah kepimpinan Abang Johari, ujarnya, Sarawak telah dipilih mewakili Malaysia buat julung kalinya sebagai tuan rumah untuk menganjurkan International Water Association (IWA) World Water Congress and Exhibition 2028.

“Ini merupakan pertama kali anjuran sebegini di Asia Tenggara.

“Persidangan ini dijangka akan dihadiri lebih daripada 10,000 peserta dari 80 buah negara, ” kata Julaihi.

Terdahulu katanya lagi, Kuching juga telah dipilih menjadi tuan rumah persidangan World Congress on Innovation and Technology (WCIT) pada 4 hingga 6 Oktober 2023.

Persidangan telah diadakan serentak dengan acara tahunan siri keenam International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2023.

Menurut Julaihi, persidangan telah berjaya menarik penyertaan seramai 10,123 orang peserta dari dalam dan luar negara.

“Malah, Abang Johari juga telah menerima Anugerah Khas World Innovation, Technology and Services Alliance (WITSA) Eminent Person Award daripada pengerusi WITSA (penganjur WCIT) Dr. Sean Seah,” ujarnya.

Pada 14 November 2023 yang lepas, kata Julaihi, Sarawak juga telah menerima Anugerah Kerajaan Digital daripada ASIAN-Oceanian Computing Industry Organisation (ASOCIO) 2023 di Seoul, Korea Selatan.

Jelas beliau, ini merupakan satu pengiktirafan besar bagi Sarawak apabila diiktiraf oleh sebuah organisasi yang terlibat dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) khususnya di rantau Asia-Oceania. — DayakDaily