PPIS serah bakul makanan kepada 40 keluarga

Manjeet (kanan) bersama ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang membantu menjayakan program.

KUCHING, 13 Feb: Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) hari ini menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 40 keluarga dari beberapa kawasan di sekitar Kuching.

Pengerusinya Manjeet Kaur Sidhu berkata, ia merupakan aktiviti tahunan persatuan dan bertujuan membantu keluarga yang memerlukan.

“PPIS telah menyampaikan sumbangan seperti ini di lebih 40 kawasan termasuk di luar bandar.


“Antaranya, kita telah menghantar bantuan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan di Plaman Nyabet, Tarat Mawang, Ritoh Mawang dan perkampungan yang lain.

“Selain itu, kita juga mengadakan program kembali ke sekolah bagi membantu ibu tunggal di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui di pusat penyerahan bantuan di Kota Sentosa.

Bagi agihan sumbangan hari ini, ia melibatkan keluarga terpilih dari kawasan Jalan Lapangan Terbang, Kampung Kudei Lama, Setingan Batu, Jalan Arang, Matang, Stapok dan Jalan Stephen.

Aktiviti dijayakan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. — DayakDaily