Posa sekali lagi dilantik menjadi presiden FAS

Posa (kanan) menyerahkan replika cek sebanyak RM2 juta sumbangan peribadinya kepada wakil FAS selepas mesyuarat agung tahunan persatuan itu di Limbang. - Gambar dipetik dari halaman Facebook "Official Sarawak FA".

LIMBANG, 27 Okt: Dato Posa Majais sekali lagi dilantik menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bagi sesi 2018/2021 pada mesyuarat agung tahunan persatuan itu yang diadakan di sini hari ini.

Dalam mesyuarat yang julung kalinya diadakan di Limbang, Posa mendapat pencalonan dari kesemua bahagian bolasepak di Sarawak dan merupakan calon tunggal untuk jawatan tersebut.

“Ini merupakan kali kedua beliau memegang jawatan tersebut selepas menjawatnya  melalui lantikan Exco pada Januari 2017,” menurut kenyataan media FAS yang disiarkan  di laman Facebook “Official Sarawak FA” hari ini.


Manakala muka baru, Dato Awang Daud Awang Putera, 55, yang merupakan seorang ahli perniagaan berasal dari Bintulu, dilantik menjadi Timbalan Presiden FAS yang baru selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan tersebut daripada kesemua bahagian bolasepak di Sarawak.

Bagi jawatan Naib Presiden, seramai 12 orang menghantar nama untuk mengisi lima jawatan tersebut, namun dua daripada calon terbabit tidak hadir mesyuarat itu dan setelah mendapat persetujuan daripada kesemua ahli mesyuarat, nama kedua-dua calon tersebut tidak layak untuk dipertandingkan.

Manakala mantan Naib Presiden FAS, Razali Dolhan yang pada mulanya berhasrat untuk mempertahankan jawatan tersebut, telah menarik diri pada saat akhir demi memberi laluan kepada muka-muka baru.

Ini menjadikan hanya seramai sembilan orang yang bertanding dan antara lima calon naib presiden yang telah menang dalam undian tersebut ialah Philip Jabu dari Serian FA, Mohd Saif Jubaidi (Miri FA), Abdul Ajis Kon Mohamad Ghazali (Limbang FA), Abang Zaini Abang Ismail (Sarikei FA) dan Abdillah Majid (Sri Aman).

Bekas pemain pertahanan Sarawak zaman era Bujang Senang, Jefry Lana, telah dilantik semula sebagai Setiausaha Agung untuk sesi 2018/2021.

Dalam ucapan dasarnya, Posa berterima kasih kepada kesemua ahli gabungan FAS di atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menerajui persatuan sekali lagi, biarpun berharap agar ada pertandingan untuk jawatan tersebut.

Beliau juga berharap agar barisan kepimpinan baru persatuan itu yang telah dipilih akan bersama-sama dengannya mengembalikan semula kegemilangan bolasepak Sarawak.

Dalam majlis yang sama, Posa turut menyumbangkan sumbangan peribadinya sebanyak RM2 juta kepada FAS. — DayakDaily