Polis tahan empat individu terlibat judi haram

Anggota polis menahan empat suspek selepas disyaki terlibat dalam perjudian haram.

KUCHING, Julai 7: Polis menahan empat individu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Kedandi di sini malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9.40 malam itu, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak berjaya menahan empat suspek yang berusia antara 21 hingga 23 tahun.

Ketua JSJ Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, empat suspek iaitu masing-masing dua lelaki dan wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam menjalankan operasi penjumlahan untuk judi dalam talian di rumah teres berkenaan.


Katanya, semua suspek ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan beberapa hari sebelum serbuan dilakukan.

“Semasa serbuan dilakukan, kesemua suspek terkejut kerana leka melakukan kerja-kerja perjumlahan untuk judi dalam talian.

“Pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemui lima unit komputer, enam unit telefon bimbit, slip pertaruhan, dan buku termasuk nombor akaun bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Leong menambah, kesemua barangan tersebut kemudian dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

Tegasnya, pihak polis akan terus melakukan serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian haram di negeri ini.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily