Polis tahan dua lelaki judi bola sepak

Anggota polis memeriksa kenderaan suspek.

BINTULU, Julai 14: Tindakan dua lelaki menawarkan pertaruhan bagi perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan polis di sebuah restoran di Jalan Tanjung Kidurong di sini.

Kedua-dua suspek berusia 22 tahun itu dicekup oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili berkata, penemuan 30 helai resit pertaruhan daripada kedua-dua suspek berjaya membongkar kegiatan jenayah tersebut.


Jelasnya, semasa ditahan, kedua-dua suspek dikatakan sedang menunggu kaki judi untuk membuat pertaruhan bagi perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018.

“Tangkapan itu dibuat hasil maklumat awam dan intipan terhadap pergerakan kedua-dua suspek sebelum ini.

“Pemeriksaan lanjut menemui terdapat pertaruhan yang dilakukan secara dalam talian dalam telefon bimbit kedua-dua suspek,” katanya.

Zulkipli menambah, siasatan lanjut membawa kepada penemuan buku catatan rekod pertaruhan membabitkan perlawanan Piala Dunia 2018 di dalam kenderaan suspek.

Katanya, pihaknya juga merampas wang tunai sebanyak RM2,355 disyaki hasil aktiviti perjudian itu.

“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily