Oleh Juetila Ozzy
KUCHING, 16 Mac: Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung laporan mengenai video menghina agama Kristian yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 37 laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Puteri Mujaidah Wan Asshima Kamaruddin’ yang memuat naik video tersebut.
Katanya, kesemua laporan tersebut telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Berdasarkan fakta kes mendapati saspek telah memuatnaik video ucapannya pada 11/03/2021 jam 0923 hrs melalui akaun facebook Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin.
“Antara intipati video adalah kenyataan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab bible dan individu dalam video tersebut juga menyeru orang Melayu dan Islam menentang isu penggunaan kalimah Allah serta mengeluarkan kenyataan agar semua gereja ditutup,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya juga, siasatan juga dijalankan oleh pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (D5) Bukit Aman.
Siasatan dijalankan dibwah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian internet).
“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati mengeluarkan apa-apa kenyataan agar tidak menyinggung perasaan agama dan kaum tertentu.
“Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara maka hendaklah menggunakan saluran yang betul dan berdasarkan undang-undang,” kata Aidi. — DayakDaily