Polis Serian memburu dua suspek dalam kes memukul, merompak pemandu teksi

Pihak polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.

SERIAN, 27 Jan: Seorang pemandu teksi berdepan detik cemas apabila dipukul dan dirompak oleh dua penumpangnya dalam kejadian lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.15 petang memaklumkan seorang lelaki telah dipukul di tepi jalan berdekatan kawasan Kampung Belimbing di sini.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan pemandu teksi telah dipukul oleh dua suspek dipercayai warga asing yang merupakan penumpang teksi terbabit.


“Kedua-dua suspek tersebut turut melarikan teksi milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terbabit menaiki teksi mangsa dari Kuching Sentral untuk pergi ke Gedong dan Balai Ringin.

Bagaimanapun katanya, apabila sampai berdekatan kawasan Kampung Belimbing, suspek telah meminta mangsa untuk berhenti di tepi jalan lalu bertindak memukul mangsa di bahagian kepala.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa yabg berusia 62 tahun itu sempat keluar dari teksi yang di pandunya itu.

“Menurut mangsa, Kedua-dua suspek kemudian melarikan teksi tersebut dan dilihat memandu teksi tersebut menuju ke arah Sri Aman,” katanya.

Aswandy berkata, usaha menjejaki kedua-dua suspek tersebut sedang giat dilakukan dan pihaknya melancarkan ops kesan sejurus selepas menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan manakala mangsa dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily