Polis Serian buru remaja lelaki disyaki rogol wanita OKU berusia 24 tahun

DSP Aswandy Anis

Oleh Dean Adam

SERIAN, Julai 24: Polis Serian giat menjejaki seorang remaja lelaki yang disyaki merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 24 sehingga dia mengandung dan melahirkan bayi pada Julai 18 lepas.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, pasukan polis sedang mengesan remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai melarikan diri selepas ibu mangsa (pengadu) membuat laporan polis semalam (Julai 23).


Katanya, anak pengadu yang merupakan OKU (lembab pembelajaran) telah melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Berdasarkan laporan polis yang diterima, suspek merupakan jiran kepada mangsa yang menetap di Kampung Jenan di sini.

“Pengadu juga dikatakan tidak mengetahui anak dia mengandung kerana mangsa tiada menunjukkan sebarang perubahan pada fizikal badannya,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, buat masa ini mangsa masih menerima rawatan di HUS.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. — DayakDaily