MIRI, Ogos 15: Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri berjaya merampas 40 unit komputer termasuk pelbagai peralatan elektronik dalam satu serbuan di sebuah premis di Marina Square di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam serbuan pada pukul 3.30 petang itu tiada sebarang tangkapan dilakukan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, kejayaan rampasan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam jenayah judi atas talian itu adalah susulan serbuan yang dilakukan pada Ogos 11 lepas di lokasi sama.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pengusaha judi atas talian yang sama menjalankan kegiatan perjudian di situ.
“Tiada sebarang tangkapan dilakukan hari ini, cuma polis telah merampas 40 unit komputer serta pelbagai peralatan elektronik lain.
“Kesemua barangan rampasan itu kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Denis menambah, kes berkenaan masih dalam proses siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya, pihak polis juga akan terus melakukan operasi membanteras kegiatan perjudian haram dari masa ke semasa di seluruh negeri ini.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu jika didapati terlibat dalam aktiviti perjudian haram,” tegasnya. — DayakDaily