Polis Sarawak periksa 561 orang dalam Ops Ice Breaker, 399 orang positif dadah

Gambar tangkapan melibatkan Ops Ice Breaker.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 4: Seramai 561 orang telah ditahan selepas disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah menerusi Ops Ice Breaker yang dilakukan di seluruh negeri bermula Julai 29 hingga Ogos 4 lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif berkata, daripada jumlah tersebut seramai 399 orang didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 376 orang merupakan lelaki dan 23 orang adalah wanita.

“Hasil Ops Ice Breaker itu, polis telah merampas dadah jenis syabu seberat 245.71 gram, ganja (4.76 gram) dan pil nospan (4,327 biji).

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak RM39,163.50,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, pasukan serbuan juga menyita sebuah kereta iaitu Perodua Myvi bernilai RM30,000 dan sebuah kereta Proton Saga Iswara (RM5,000).

Katanya, jumlah keseluruhan nilai sitaan adalah sebanyak RM35,000.

“Kesemua tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut di atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — DayakDaily