Polis Sarawak berkas 99 kaki judi dalam 67 serbuan

Anggota polis melakukan serbuan di premis judi haram.

KUCHING, Julai 30: Polis Sarawak terus melancarkan operasi membanteras aktiviti perjudian haram di negeri ini dengan menahan seramai 99 individu selepas mereka disyaki terlibat dalam jenayah berkenaan minggu lalu.

Kesemua suspek ditahan yang melibatkan 73 lelaki dan 26 wanita itu berusia antara 16 hingga 63 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC, Denis Leong Soon Kuai berkata, semua suspek terbabit dicekup menerusi 67 serbuan berasingan yang dilakukan mulai Julai 23 hingga 29 lepas.


“Pasukan polis telah melancarkan serbuan melibatkan daerah Kuching, Padawan, Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Limbang, Maradong, Serian, Sarikei, Kapit, Saratok, Sri Aman, Lawas, Matu Daro, Lundu dan Song.

“Hasil serbuan, pasukan polis telah merampas wang tunai berjumlah RM16,559 disyaki hasil perjudian haram berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Denis menambah, hasil serbuan sama polis turut merampas 22 unit telefon dan tablet dan kertas pertaruhan yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

Jelasnya, kejayaan serbuan serta tangkapan itu adalah susulan hasil maklumat awam yang disalurkan kepada Bilik Gerakan Khas yang dibuka baru-baru ini.

“Daripada 25 (laporan) maklumat awam yang diterima, 23 (laporan) maklumat mengenai judi haram yang diterima berkenaan adalah tepat sekali gus membawa kepada serbuan dan tangkapan itu.

“Kes berkenaan masih dalam proses siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1962,” katanya lagi. — DayakDaily