Polis pantau media sosial berkenaan konflik Palestin-Israel

PDRM logo
Advertisement

KUCHING, 19 Mei: Polis Sarawak kini menjalankan pemantauan di media sosial berkenaan komen atau bahan-bahan yang dimuat naik mengenai konflik antara Palestin dengan Israel.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut disebabkan ada pihak yang didapati mengaitkan konflik tersebut dengan menyentuh isu-isu sensitif seperti agama, bangsa dan keturunan orang lain.

Jelasnya, perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan serta situasi tidak harmoni di kalangan masyarakat di negeri ini.

Advertisement

“Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang melakukan kesalahan tersebut.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa memberikan pendapat atau komen-komen berkaitan isu konflik tersebut dan tidak menjadikan mesia sosial sebagai tempat untuk melepaskan kemarahan atau rasa tidak puas hati sehingga menyinggung perasaan dan sensitiviti orang lain,” kata Aidi dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mendedahkan pihaknya telah menahan dua individu berhubung isu tersebut sehingga hari ini.

“Setakat ini, polis di Sarawak telah menangkap dan menjalankan siasatan lanjut ke atas 2 individu yang telah mencetuskan kemarahan orang lain dengan komen- komen yang dibuat melalui media sosial.

“Hasil siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Siasatan kes dijalankan di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. — DayakDaily

Advertisement