Polis Miri rampas 20 senapang patah di Kg Bakam

Kelihatan anggota polis memindahkan senapang patah yang dirampas dari rumah suspek.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Okt: Sebanyak 20 laras senapang patah pelbagai jenis beserta komponen telah ditemui dan dirampas pihak polis Miri dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bakam tengahari ini.

Polis juga turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 87 tahun untuk membantu siasatan.


Ketika serbuan dibawah Ops Laras sekitar jam 12 tengahari itu, suspek sedang duduk dan dipercayai sedang membaiki komponen senjata di hadapan rumah berkenaan.

Pemeriksaan di dalam rumah dengan disaksikan oleh suspek kemudian telah menemui 20 laras senapang patah dan komponen-komponen senapang patah tersebut.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) itu diketuai ASP Unang Giang.

Suspek (barisan depan, tiga dari kanan) dibawa ke balai oleh anggota JSJ Miri.

Polis masih menyiasat tujuan sebenar senjata api tersebut digunakan.

Siasatan awal mendapat suspek bukan sahaja membaiki dan membuat senapang patah, malah turut menjual senjata berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata tiruan. — DayakDaily