Polis Miri berkas tiga beradik disyaki menyerang surirumah, anak

Tiga beradik dicekup dibawa ke Balai Polis Pusat Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 Jan: Tiga beradik dari Tudan Desaras 2a ditahan polis awal pagi ini kerana disyaki terlibat dalam kes menyerang seorang surirumah dan anaknya pada malam Isnin (25 Jan).

Tangkapan dibuat sekitar jam 1.20 pagi tadi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) di sebuah rumah kayu di Tudan Desaras.


Dalam kejadian malam Isnin itu, mangsa berusia 32 tahun bersama anak lelakinya telah diserang oleh enam suspek termasuk suaminya sendiri menggunakan kayu.

Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 8.30 malam semasa mangsa hendak mengambil anaknya yang berusia 14 tahun untuk makan.

Secara tiba-tiba, mangsa telah didatangi enam lelaki termasuk suaminya sendiri sebelum diserang dengan kayu.

Kereta mangsa juga dilaporkam telah dirosakkan dalam kejadian, manakala anaknya ditolak ke dalam longkang.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, anggotanya terpaksa memecah masuk pintu depan dan belakang rumah tersebut selepas suspek enggan memberi kerjasama.

Difahamkan, anggota JSJ telah beberapa kali telah mengetuk pintu depan dan belakang rumah terbabit, namun tiada respon balas dari suspek yang disyaki bersembunyi di dalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut, JSJ telah berjaya menangkap tiga lelaki berusia 20, 24 dan 35 tahun yang bersembunyi di dalam rumah tersebut. Turut dirampas dua batang kayu masing-masing berukuran 117cm dan 125 cm di luar rumah untuk dijadikan barang kes,” ujar Hakemal.

Turut diperiksa tiga buah motosikal jenis Honda Ex5, Demak Matrix dan Modenas Kriss yang diletak di hadapan rumah tersebut dengan disaksikan oleh ketiga-tiga suspek.

Pemeriksaan menggunakan sistem m-card PDRM terhadap nombor enjin ketiga-tiga motosikal diperiksa mendapati kesemua motosikal yang diperiksa pernah dilaporkan hilang.

“Kesemua motorsikal tersebut kita rampas dan telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri (CPS) untuk siasatan lanjut,” jelas Hakemal.

Semasa tangkapan hendak dibuat, sedikit kekerasan terpaksa digunakan untuk menangkap suspek kerana ketiga-tiga ssuspek bertindak agresif dan hendak melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya. — DayakDaily