Polis menahan 11 individu dipercayai mencederakan seorang lelaki di Desa Pujut 2

PDRM logo

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 April: Polis menahan 11 individu tempatan selepas dipercayai menyerang dan mencederakan seorang lelaki pada awal pagi Jumaat di Desa Pujut 2.

Kesemua suspek berusia antara 19 sehingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan diberkas polis Miri kira-kira jam 12.15 pagi pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dilakukan pada hari yang sama dan kesemua suspek kini sedang ditahan reman selama sehari untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi berlainan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri.

Alexson turut menafikan spekulasi yang disebarkan orang awam yang mendakwa bahawa aksi tembak menembak berlaku.

Dalam beberapa rakaman video yang dimuat naik di dalam sosial media, memaparkan sekumpulan lelaki ternasuk mangsa telah terbabit dalam kejadian pergaduhan di dalam sebuah bistro di Vista Perdana Permyjaya.

Mangsa, walaubagaimanapun berjaya melarikan diri dengan memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda, memecut menuju ke kawasan Desa Pujut 2, sebelum ditemui suspek.

Di lokasi itu (Desa Pujut 2), mangsa dipercayai telah diserang buat kali kedua sehingga cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda. — DayakDaily