Polis marin rampas 15,000 liter diesel di Demak

Anggota operasi memeriksa tangki yang ditemui di dalam premis tersebut.

KUCHING, 12 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas kira-kira 15,000 liter minyak diesel dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian Demak, di sini hari ini.

Komandernya ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata Unit Risikan Marin bersama Unit Risik Dron Pasukan Gerakan Udara telah menahan seorang lelaki tempatan dan sebuah lori di kawasan tersebut sekitar jam 11 pagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat muatan 22 tangki plastik berkapasiti 1,000 liter manakala 15 tangki plastik berisi lebih kurang 15,000 liter minyak diesel dijumpai di dalam premis tersebut.


“Penjaga premis gagal menunjukkan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki barang kawalan tanpa permit khas daripada KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebuah lori, 15,000 liter minyak diesel, 37 tangki plastik dan dua tangki besi buatan sendiri serta empat pam dengan nilai anggaran keseluruhan RM121,600 dirampas untuk siasatan lanjut.

“Semua barang rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDNHEP Kuching untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya. ā€” DayakDaily