Polis cekup tiga lelaki lagi edar dadah

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 15: Polis menahan tiga lelaki selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Batu 36 Jalan Bintulu-Miri, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 28 tahun itu diberkas kira-kira pukul 6 pagi.

Sumber berkata, daripada tiga suspek yang ditangkap, dua daripada mereka ialah warga asing.

Jelasnya, dalam serbuan tersebut, polis berjaya menemui 20 keratan tiub berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.

“Kesemua dadah seberat 30.5 gram yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM6,000,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili mengesahkan laporan penahanan ketiga-tiga suspek.

Ujarnya, ujian air kencing yang dilakukan ke atas semua suspek positif dadah jenis syabu.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily