Polis cekup lelaki disyaki ‘runner’ dadah

Gambar komposit menunjukkan suspek dan dadah yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 10: Tindakan seorang lelaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah akhirnya membawa padah apabila dia diberkas polis di Kota Sentosa di sini semalam.

Suspek berusia 22 tahun itu dicekup sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Padawan pada pukul 9.45 malam.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, semasa ditahan polis telah menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu di dalam poket seluar suspek.

Jelasnya, anggaran berat dadah yang dirampas daripada suspek ialah kira-kira 56.65 gram.

“Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah,” katanya di sini hari ini.

Aidil menambah, siasatan awal mendapati suspek merupakan ‘runner’ kepada sindiket pengedaran dadah.

Katanya, polis juga merampas sebuah kereta milik suspek untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. — DayakDaily