Polis cekup 71 individu terlibat judi haram

Anggota polis melakukan serbuan di salah satu premis digunakan untuk perjudian haram.

KUCHING, Jun 25: Seramai 71 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram ditahan menerusi serbuan berasingan yang dilakukan sepanjang minggu lalu.

Kesemua kaki judi yang dicekup itu berusia antara 19 hingga 52 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, daripada semua individu yang ditahan, 44 orang merupakan lelaki, manakala 27 lagi wanita.


Jelasnya, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM23,041 disyaki hasil daripada kegiatan haram berkenaan daripada semua serbuan yang dilakukan.

“Menerusi serbuan sama, polis turut merampas slip-slip pertaruhan perjudian, 10 telefon bimbit serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam menjalankan jenayah itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Leong menambah, serbuan sepanjang minggu lalu iaitu mulai Jun 18 hingaa 24 lalu telah dilakukan di Kuching, Padawan, Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Limbang, Lubok Antu, Maradong, Serian, Sarikei, Kapit, Mukah, Saratok, Sri Aman, Tatau, Lawas, Dalat dan Belaga.

Katanya, menerusi serbuan berkenaan, polis telah menahan 53 individu yang terlibat dalam loteri haram dan enam lagi yang terbabit dalam judi dalam talian.

“Polis juga memberkas 12 individu lain yang terlibat dalam judi pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily