Polis cekup 4 individu, rampas dadah bernilai RM120,000

Kelihatan pelbagai jenis dadah yang dirampas

Oleh Dean Adam

MIRI, Jan 13: Polis Miri berjaya memberkas empat individu termasuk dua wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di Tanjung Lobang di sini semalam.

Keempat-empat suspek berusia antara 24 hingga 40 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota polis kira-kira pukul 2.25 pagi.


Menurut sumber, hasil operasi berkenaan, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM120,000.

“Pelbagai peralatan yang disyaki digunakan semua suspek untuk melakukan jenayah berkenaan turut dirampas,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan kesemua suspek.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily