Polis cedera, perut tercucuk besi dalam serbuan ke atas ‘kasino mini’ di Jalan Foochow

Antara suspek yang ditahan dalam serbuan tersebut.
Advertisement

KUCHING, 9 Nov: Seorang anggota polis nyaris maut apabila badannya tercucuk besi pagar dalam satu serbuan ke atas sebuah ‘kasino mini’ di Jalan Foochow semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong mendedahkan anggotanya itu semasa kejadian sedang memanjat pagar premis berkenaan yang setinggi tujuh kaki iaitu sekitar jam 5 petang.

“Ketika itu, dia terjatuh sehingga menyebabkan perutnya tercucuk besi pagar dan turut mengalami kecederaan di bawah lengan kiri.

Advertisement

“Bagaimanapun dia kini stabil selepas menerima rawatan dan kini menjalani pemulihan di rumah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Anggota polis tercedera dibawa masuk ke dalam ambulan dari lokasi kejadian untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Leong turut memberitahu, pihaknya berjaya menahan sembilan lelaki yang sedang leka berjudi dalam serbuan tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 17 hingga 28 tahun.

“Lokasi serbuan adalah sebuah rumah jenis dua tingkat dan mempunyai satu bilik berasingan di ruang belakang rumah yang dijadikan sebagai ‘mini casino’.

“Siasatan awal mendapati premis sudah beroperasi hampir enam bulan dengan dilengkapi kamera litar tertutup serta berpagar,” tambah beliau.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah pelbagai peralatan perjudian antaranya 413 keping cip, 104 keping daun terup dan dua meja ‘Texas Poker’.

“Tiada pertukaran wang tunai di lokasi kejadian kerana wang kemenangan akan dikreditkan terus ke akaun pemenang,” katanya.

Kesemua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily

Advertisement