Oleh Dean Adam
KUCHING, Mac 12: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes penipuan menawarkan pakej pelancongan melibatkan kerugian sebanyak RM118,567.84 sedang diburu oleh polis.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek yang diburu dikenalpasti sebagai Mohd Aszlan Mat Muda, 30.
Jelasnya, suspek yang sedang dikesan berasal dari Kampung Pandan Lundu.
“Sebanyak 32 laporan polis telah diterima terhadap suspek sejak Disember 23, 2018 hingga Mac 8, lepas.
“Lima kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah menawarkan pakej pelancongan yang tidak wujud kepada semua mangsa.
Jelasnya, suspek kemudian memperdayakan semua mangsa terlibat dengan meminta mangsa membuat pembayaran ke akaun suspek bagi tujuan proses pendaftaran tiket kapal terbang.
“Semua mangsa terlibat dari Kuching, Miri, Sibu, Padawan dan Sri Aman,” katanya. — DayakDaily