Polis buru 2 saspek kes bunuh di ladang getah di Ulu Layar, Betong

Ramli (tengah) pada sidang media di Siburan hari ini (Dis 18, 2019).

Oleh Chris Bishop

PADAWAN, Dis 17: Polis sedang giat memburu dua warga asing yang dipercayai membunuh seorang peniaga getah di ladang Kabok, Ulu Layar di Betong semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din berkata, kedua-dua saspek dipercayai menyerang mangsa menggunakan parang dan kayu sekitar jam 5.30 petang.


Mangsa yang merupakan seorang lelaki berbangsa Cina berusia 31 tahun mati ditempat kejadian.

“Pada jam lebih kurang 2 petang semalam, mangsa bersama seorang pembantunya telah pergi ke Ladang Kabok, Ulu Layar menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda dengan tujuan membeli getah.

“Setibanya di ladang, mereka bertemu dengan 2 lelaki yang dipercayai warganegara asing yang ingin menjual getah.

“Di situ, pembantu mangsa turun dari kenderaan dan terus berjalan ke hadapan meninggalkannya.

“Setelah berjalan lebih kurang 100 meter, pembantu tersebut mendengar jeritan mangsa dan melihat dua warga asing memegang parang dan kayu,” katanya.

Ramli berkata demikian pada sidang media selesai Pelancaran Op Selamat bersempena Perayaan Krismas 2019 di Dewan Komuniti Siburan hari ini .

Tambah Ramli lagi, pembantu yang merupakan seorang lelaki berbangsa Iban berusia 48 tahun cedera di bahagian tangan dan kepala setelah turut diserang kedua-dua saspek.

Dalam pada itu, Ramli menyifatkan kejadian tersebut bukan bermotifkan rompakan setelah wang tunai berjumlah RM14,800 yang dibawa mangsa ditemui di tempat kejadian.

“Bermakna kita percaya bukanlah motif rompakan, mungkin ada motif lain,”ujar beliau.

Justeru kata Ramli, KPD Betong telah diarahkan untuk melakukan siasatan segera untuk mengesan penjenayah dan saksi. — DayakDaily