Polis berjaya temui semula kenderaan curi dalam tempoh singkat

Anggota polis berjaya menemui semula Perodua Alza yang dilaporkan hilang.

LAWAS, Jun 12: Tindakan pantas pasukan polis selepas menerima maklumat mengenai kes curi sebuah Perodua Alza membuahkan hasil apabila berjaya menemui semula kenderaan dalam tempoh singkat dalam satu kejadian, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, sebelum itu, seorang lelaki warga emas membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 11 pagi.

Jelasnya, berdasarkan laporan lelaki berusia 65 tahun itu, Perodua Alza milikinya hilang semasa dia berjumpa dengan rakannya di Mega Badminton Hall, Jalan Banting Road di sini pada pukul 9 pagi.


“Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lawas telah melakukan operasi di sekitar kawasan sempadan menuju ke Sabah.

“Pasukan polis terbabit turut mendapat bantuan daripada pihak Balai Polis Weston bagi menjejaki penjenayah yang melarikan kenderaan curi itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dennis menambah, pasukan polis kemudian menjejaki kenderaan berkenaan sebelum mengepung penjenayah terbabit.

Katanya, usaha itu berhasil apabila penjenayah terbabit meninggalkan Perodua Alza tersebut di bahu jalan sebelum dia melarikan diri ke arah kawasan hutan di situ.

“Polis berjaya menemui semula Perodua Alza itu kira-kira 100 kilometer dari tempat kenderaan tersebut dilaporkan hilang sebelum ini

“Buat masa ini, pihak polis masih memburu suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya. — DayakDaily